Entah bagaimana kacau bilaunya perasaan si anak yang menjadi kakak di usia 2 tahun 6bulan itu. Masih kecil, masih belum mengerti apa-apa.
Entah betapa kecewanya dia, mungkin merasakan ibu sudah tidak sayangkannya sejak si adik menjengah dunia.
Entah betapa sedihnya dia menghadapi situasi yang berlarutan beberapa minggu ketika saya menjalani tempoh berpantang.
Mengenangkan jahilnya saya ketika itu, betapa saya ini tidak pandai mengurus emosi. Si anak menjadi mangsa.
Kerana itulah, airmata si ibu ini mengalir laju taktala membaca kesah di 1 emel yg diperpanjangkan sahabat. Kisah yang diceritakan oleh seorang ibu, perihal anaknya yang terlalu nakal.
Rumah yang sudah cantik dikemas oleh si ibu disepahkannya. Berulang kali, meskipun sudah dimarahi.
Si ibu ini sudah hilang sabar. Suatu hari, ditariknya telinga si anak bila dia menyepahkan rumah. Diajarnya pada si anak, agar setiap kali ibu menarik telinganya kerana kenakalannya, si anak perlu berkata: “Ibu, maafkan abang”.
Suatu hari, saat ibu sibuk memasak di dapur, si anak seperti biasa membuat sepah di ruang tamu yang telah dihias rapi oleh ibunya.
Ibu meradang. Si anak ketakutan dan lari ke luar rumah.
“Dummmm!!!”. Kedengaran bunyi sesuatu di luar rumah.
Sudah terlambat, saat si ibu meluru keluar, anaknya sudah terbaring di atas jalanraya. Darah merah memenuhi jalan.
Si ibu memangku si anak yang sudah nazak.
Dengan bibir terketar-ketar..si anak menuturkan kata-kata yang cukup mengusik hati si ibu:
” Ibu…maafkan abang.”. Si anak minta maaf kepada ibu kerana telah menyepahkan rumah tadi. Dan itulah ungkapan terakhir anak buat si ibu….
Saya mengesat airmata yang berlinangan. Mengenang saat saya memarahi anak dara saya.
Menyalahkan diri sendiri. Sukarkah memberi maaf pada anak? Kita juga pernah kecil seperti mereka. Bersabarlah wahai ibu! Maafkan mereka..
Hargailah saat mereka ada di depan mata. Kerana kita tidak tahu, sampai bila ianya akan begitu. Saat ia hilang, ia tentu satu perasaan yang sangat sukar untuk ditafsirkan.
Nakal anak tangani dengan hikmah.
Marah hanya membuatkan mereka keras hati. Berdoalah untuk mereka, kerana doa seorang ibu, sangat mustajab buat anaknya.
Anak-anak itu adalah rezeki. Hadirnya mereka bersama ujian, cabaran buat mematangkan ibu bapa. Sabar itu harus dipupuk sentiasa. Gerun saya memikirkan, anak-anak andai sentiasa dimaki, diherdik, ditengking ibu bapa sendiri yang tidak pandai mengurus emosi, bagaimana emosinya di saat membesar? Akan jadi pendendamkah anak-anak itu nanti?
Duhai ibu, ingatan utk dii sendiri...
Marah itu mudah. Sabar itu indah.
Si kakak yang mula-mula mengajar ibu ERTI SABAR.