KONSEP BEKERJA DALAM ISLAM:
PANDANGAN ISLAM TERHADAP SUAMI ISTERI BEKERJA
Oleh Ustaz Syed Hasan Alatas
Berkerja sebagai ibadah
ALLAH S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Dan katakanlah (wahai Muhamad) ! Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat akan apa yang kamu kerjakan”. (al-Quran: Attaubah 105)
Oleh itu semua kita wajib bekerja, temasuk suami / isteri, untuk mencapai kebahagiaan hidup kita di dunia dan juga di akhirat. Hak dan kewajiban Suami adalah untuk melindungi isteri dan anak-anaknya, menyediakan segala keperluan hidup mereka seperti rumah tempat tinggal, memberikan nafkah perbelanjaaan, mendidik dan membimbing anak isteri ke jalan yang diredhai Allah. Hak dan kewajiban isteri pula, termasuklah mentaati suami, mengurus rumahtangga, mendidik anak ke jalan yang diredhai Allah, melayan suami, dan sebagainya.
Semua kerja yang dilakukan jika sekiranya diniatkan kerana mematuhi dan mengharapkan keredhaan Allah, maka jadilah ia amal soleh. Semua amal perbuatan yang kita lakukan kerana mematuhi perintah Allah adalah IBADAH.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Sesiapa yang beramal soleh sama ada lelaki atau perempuan sedangkan ia beriman maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan ". (al-Quran: Annahl 97)
Isteri Yang Berkerja
Di zaman serba canggih sekarang ini, ramai isteri terpaksa bekerja atas pelbagai sebab. Ada yang bekerja disebabkan untuk menanggung mak ataupun adik beradik yang masih kecil. Ada pula kerana ditinggalkan suami yang tercinta (meninggal dunia), bercerai, suami sakit dan sebagainya.
Meskipun demikian, jika kedua-dua suami isteri bekerja dan dapat menunaikan tugas masing-masing dengan baik, dan mematuhi perintah Allah dan RasulNya, dapat mencipta rumah tangga bahagia, dalam keadaan tenang dan tenteram, dan dalam hati kedua-duanya terpatri rasa cinta dan kasih sayang, saling hormat menghormati, sehingga melahirkan zuriat yang berguna untuk agama, bangsa dan negara, maka pekerjaan mereka telah mendapat barokah dan diredhai oleh Allah s.w.t, apa yang mereka kerjakan itu jika diniatkan kerana Allah menjadilah pekerjaan itu sebahagian daripada IBADAH.
Cabaran Isteri Berkerja
Sejak awal pagi lagi selalunya suami isteri yang berkerja akan ke pejabat. Mereka pulang setelah petang, malah ada yang sampai di rumah setelah malam hari kerana kesesakan ataupun halangan lain di jalan raya. Penjagaan anak-anak pula diserahkan sepenuhnya kepada pembantu, ataupun diserahkan ke Taska ataupun Tadika.
Suami isteri tiba di rumah dalam keadaan penat, menyebabkan anak-anak kurang mendapat kasih sayang, suami tidak mendapat layanan, kesihatan isteri selalu terganggu dan pertengkaran suami isteri menjadi lumrah. Keadaan ini bertambah parah jika berlaku pendurhakaan anak-anak terhadap orang tua. Jika keadaan ini berlanjutan, ini menunjukkan kita tidak dapat mengendali hidup dengan baik. Lebih teruk lagi boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga. Jadi, bahagia yang dikejar semakin jauh dari kenyataan, walaupun kemewahan wang ringgit sudah tercapai.
Kita jangan lupa bahawa tujuan perkawinan ialah untuk mencipta suasana aman tenteram dan kasih sayang suami isteri . Allah berfirman yang maksudnya:
"Dan diantara tanda yang membuktikan Kekuasaan dan RahmatNya, bahawa la menciptakan jodoh dari dirimu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang." (al-Quran: Arrum: 21)
Oleh itu, kehidupan yang mesra dengan diliputi perasaan cinta dan kasih perlu terus dijaga meskipun kedua suami isteri bekerja, kerana suasana seperti ini akan menjadi contoh teladan bagi anak-anak kita. Supaya mereka tidak mengulangi kembali penderitaan yang telah dialami kedua orang tua mereka dalam kehidupan mereka.
Kehidupan mesra yang penuh dengan kasih sayang boleh dicapai jika suami-isteri saling berkerjasama, saling tolong menolong, dengan perasaan kasih sayang. Sediakan masa yang secukupnya untuk keluarga dengan pergi berkelah misalnya. Sentiasa berbincang dan mengatasi segala kesulitan yang timbul secara bersama. Jika hal ini boleh kita ujudkan insya Allah rumah tangga bahagia dapat dipertahankan..
Kita dan Harta Milik Allah
Bekerja kuat ketika muda adalah baik sekali, sebelum badan dimamah usia. Kita perlu pandai menggunakan pendapatan yang diperoleh untuk simpanan dihari tua. Meskipun demikian kita jangan lupa, bahwa segala apa yang telah kita miliki itu adalah kepunyaan Allah s.w.t., yang dipinjamkan kepada kita. Oleh itu kita mesti pandai bersyukur atas segala nikmatNya, dan bila ditimpa musibah kita patut bersabar, dengan demikian hidup kita akan tenang, Insya Allah.
Bekerja adalah suatu kebajikan. Tolong menolong antara suami dan isteri adalah sesuatu yang dituntut oleh Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan."(Al-Quran surah Al-Maidah: 2)
Sebaliknya jika suami mampu menanggung semua keperluan hidup, dan isteri memilih bekerja dirumah sepenuh masa, maka itu adalah lebih baik. Kerana bekerja di rumah dan mendidik anak-anak untuk menjadi anak yang berguna, bukanlah pekerjaan yang mudah. Meskipun ada pembantu rumah, sudah tentu penjagaan dan didikan seorang ibu lebih daripada penjagaan dan pendidikan pembantu rumah.
Atas sebab ini, ada isteri-isteri yang mengorbankan pekerjaan mereka, demi rumah tangga. Pendidikan yang tinggi yang mereka dimiliki akan membantu mereka dalam membina masa depan yang cemerlang untuk anak-anak.
Nabi s.a.w. telah mengingatkan kita:
"Setiap anak yang dilahirkan adalah suci, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, atau Nasrani atau Majusi." (H.R.Abu Ya’1a, Thabrani, dan Baihaqi)
Tujuan pendidikan Islam ialah untuk menyiapkan anak-anak kita, supaya jika mereka dewasa nanti mereka boleh melaksanakan dengan baik pekerjaan dunia dan amalan akhirat, sehingga tercipta kebahagiaan dunia dan kebahagiaan di akhirat, Untuk itu mereka perlu dididik menjadi orang yang beriman dan beramal soleh. Perlulah kepada mereka diberikan didikan keimanan, akhlak, ibadah solat, puasa, dan sebagainya, dan mereka perlu dibimbing kejalan yang diredhai Allah.
Sudah tentu mereka perlu mendapat pendidikan untuk mengerjakan berbagai Ilmu Pengetahuan keduniaan lainnya seperti berdagang, berternak, bertukang, menjadi guru, petani, semua ini meskipun kelihatan keduniaan jika sekiranya diniatkan kerana Allah jadilah ia ibadah., kerana semua ini juga perintah Allah supaya kita memakmurkan bumi ini sebagai mana firmanNya yang bermaksud:
"Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya".
(al-Quran: Hud: 61)
Untuk meujudkan generasi muda harapan Ummat sedemikian rupa, maka amat diperlukan suatu keluarga bahagia, keluarga yang menjadi contoh teladan, suami isteri yang rukun dan damai, dimana, suasana tulung menulung adalah menjadi amalan harian, suasana aman tenteram sebagaimana menjadi tujuan dan perkawinan menjadi kenyataan.
Baginda Rasulallah s.a.w. dan keluarganya adalah tempat rujukan kita yang utama. Sejarah telah mernbuktikan, betapa rasa cinta dan kasih sayang Nabi s.a.w. terhadap isterinya Siti Khadijah demikian pula sebaliknya. Demikian pula betapa kasih sayang anak Baginda Fatimah Azzahra terhadap ayahandanya dan suaminya adalah menjadi contoh teladan bagi kita yang sebaik-baiknya.
Kasih Sayang Terhadap Isteri
Kasih sayang Nabi s.a.w terhadap isterinya Khadijah bukan saja ketika hidup, malah sehingga Khadijah wafat, Nabi masih selalu menyebut-nyebut jasa baik Khadijah, sehingga menimbulkan rasa cemburu kepada Aisyah. Nabi s.a.w. tak dapat melupakan jasa bakti Khadijah ketika Baginda masih dalam kesusahan. Khadijah telah mengorbankan seluruh apa yang ada padanya demi untuk perjuangan menegakkan Islam. Kasih sayang Nabi kepada isterinya Khadijah bukan saja ketika masa hidup Khadijah, malah hingga wafatnya, sehingga selama hayat Khadijah Nabi s.a.w. hanya seorang saja isterinya, yaitu siti Khadijah.
Demikian pula ananda Baginda Fatimah Azzahra, telah bekerja keras membina rumah tangga bahagia, bersama suaminya yang tercinta, sehingga pecah-pecah tangannya kerana mengisar gandum, untuk makanan sekeluarga. Pernah suaminya mengesyorkan kepada Fatimah supaya menemui ayahnya untuk meminta sekedar bantuan pembantu rumah untuk meringankan tugas harian yang dialaminya.
Meskipun begitu kasih sayang Nabi s.a.w. kepada anandanya Fatimah, kerana Fatimah memang semenjak kecilnya ikut mengalami penderitaan yang dialami ayahandanya ketika Nabi s.a.w. mula menegak, mempertahan dan memperjuangkan Islam. Pernah ketika Nabi s.a.w. sedang sujud mendapat gangguan dari orang Quraisy, mereka meletakkan kotoran binatang dibelakang tubuh Nabi s.a.w. maka ketika itu dengan tangisan seorang anak kecil, Fatimah membuang kotoran itu dari tubuh Nabi s.a.w.
Meskipun begitu rapat hubungan antara Nabi dan Fatimah, tapi Nabi tidak memanjakan Fatimah malah Nabi s.a.w. menasihatkan Fatimah Azzahra supaya tetap bersabar atas cubaan Allah s.w.t. itu, kepada Fatimah Azzahra, nabi s.a.w. mengajarnya supaya membaca kalimah Subhannallah 33 x, Alhamdulillah 33 x, Allahu Akbar 33 x, setiap selesai solat, dan juga ketika hendak tidur dimalam hari, pesan Nabi s.a.w. telah diamalkan oleh Fatimah Azzahra, dan juga amalan ini, biasa telah diamalkan oleh ummat Islam.
Oleh kerana kesetiaan dan kasih sayang Fatimah terhadap suaminya Saidina Ali bin Abi Tbalib k.w. kita tahu selama Fatimah Azzahra masih hidup isteri Saidina Ali hanya sorang saja.
Pergaulan suami isteri
Mudah-mudahan hal ini menjadi pelajaran bagi kita Ummat Islam supaya suami sentiasa bergaul dengan isterinya dengan baik, dengan penuh kasih sayang dan kesetiaan, demikian sebaliknya demi untuk mencipta rumah tangga bahagia, sebagai contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. dan anandanya Fatimah Azzahra. Kewajiban suami bergaul dengan isterinya dengan cara yang baik, sopan santun dan menghargai dan menghormati isterinya Allah berfirman yang bermaksud:
“... dan gaulilah mereka (isteri) dengan baik dan sopan, penuh pengertian dan bila ada sesuatu yang tidak kamu sukai padanya (hendaklah kamu sabar) boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, sedangkan Allah menjadikan kebaikan yang banyak didalamnya.
(al-Quran surah Annisak: 19)
Amat menyedihkan pergaulan yang mesra dan penuh cinta dan kasih sayang hanya ketika belum menjadi suami isteri. Ketika itu banyaklah kata-kata yang indah dan puja puji kita nyatakan. Akan tetapi setelah menjadi suami isteri perasaan cinta dan kasih sayang itu semakin lama semakin pudar, masing-masing mulai melihat segala kekurangan pasangannya, yang berakhir dengan keinginan berpisah.
Amat malang jika perceraian itu dibuat secara terburu-buru, malah ada yang sampai hati hanya dengan menggunakan SMS. Meskipun perceraian itu dibenarkan, akan tetapi itu adalah jalan yang terakhir sekali perceraian itu meskipun halal tapi amat dibenci oleh Allah dan RasulNya, kerana akibatnya amatlah besar, terutama sekali terhadap anak-anak yang menjadi korban perceraian.
Jadi Islam membenarkan suami isteri bekerja asalkan pekerjaan itu sesuai untuk kedua, suami isteri dan dalam keredhaan Allah s.w.t. Untuk itu perlulah kita menguatkan Iman kita dengan mengikut perintah Allah dan RasulNya, dan kedua-dua suami isteri perlu. menjaga kerukunan dan ketenangan , dan dapat melahirkan zuriat yang baik untuk kebahagiaan hidup sekeluarga didunia hingga ke akhirat, dan lahirlah keturunan yang berguna, untuk agama, bangsa dan negara dan berguna pula untuk Ummat seluruhnya.