BAYI layaknya dibaluti selimut yang tebal dan selesa, didodoi ibu serta ditatang bapa apatah lagi di saat baru menjengah dunia. Bukan dibungkus surat khabar lama dan kemudiannya ‘ditidurkan’ di dalam tong sampah!
Keji sungguh manusia yang sanggup memperlakukan anaknya begitu.
Kali ini, ia berlaku lagi bila mana mayat seorang bayi lelaki terpampang di halaman pertama akhbar ini kelmarin. Bayi malang itu yang sempurna sifatnya ditemui di dalam tong sampah di Kampung Tanjung, Sungai Choh, Hulu Selangor.
Mayat yang dibungkus dengan surat khabar dan masih bertali pusat itu dipercayai baru dilahirkan ditemui pekerja Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) ketika memulakan kerja hariannya di kawasan berkenaan, kira-kira jam 8 pagi.
Besarnya kuasa Allah, ketika pekerja itu sedang mengangkat tong sampah ke dalam lori, satu plastik yang di dalamnya mengandungi bungkusan dibalut dengan surat khabar jatuh berhampiran kakinya.
Bungkusan yang disangka sampah diangkat, tetapi mengejutkan apabila sebelah kaki bayi terjuntai keluar lalu terselamatlah bayi yang sudah tidak bernyawa itu daripada terbiar dimamah ulat atau di gonggong anjing serta berkubur tanpa pusara di kawasan pembuangan sampah.
Walaupun ditemui sudah tidak bernyawa, polis percaya bayi yang tidak berdosa itu meninggal ketika dilahirkan namun sekurang-kurangnya jika bayi itu lahir dari rahim seorang ibu beragama Islam, mayatnya dapat disempurnakan mengikut hukum syarak.
Rasa sebak dan geram bersatu, tetapi apa yang boleh masyarakat lakukan kerana perbuatan tidak bermoral seperti perilaku seks bebas sudah sebati di dalam nadi generasi sekarang.
Pada mereka, balasan dosa itu apabila di akhirat kerana ketika di dunia, menikmati kehendak nafsu lebih utama. Muda hanya datang sekali tapi sedarkah mereka, noda hitam di dalam kehidupan mereka akan kekal menghantui dan berulang di dalam kehidupan anak cucu mereka nanti.
Bayi yang ditemui hidup atau mati boleh dikira, tetapi bagaimana pula nasib janin yang digugurkan secara haram. Rasanya tidak terhitung lagi dan apa yang pernah dikhabarkan oleh seorang pakar sakit puan kepada penulis, khidmat membuang bayi sebenarnya didalangi rakan-rakannya sendiri, iaitu doktor bertauliah.
Khabarnya, sepanjang minggu, rakannya itu meladani kehendak ramai wanita yang datang menggugurkan bayi di sebuah klinik sekitar Jalan Pudu dan jumlahnya boleh melebihi sepuluh kes di hari minggu.
Ada bayi hasil hubungan dengan sama bangsa dan katanya lagi, kes hubungan terlarang antara wanita tempatan bersama lelaki warga asing antaranya Indonesia, Bangladesh dan Awang Hitam juga tidak kurang banyaknya.
Justeru, apa reaksi kita sebagai masyarakat dan ibu bapa? Bimbang? Risau? Bingung? Apa juga reaksi, ketahuilah bahawasanya ia adalah isu masyarakat zaman sekarang yang perlu dibincang dan diperhalusi sebaik-baiknya.
Mungkin negara ini juga perlu sebuah pusat khas yang dikenali dengan istilah Baby Hatch seperti ditubuhkan di Jepun dan Jerman bagi memberi sokongan kepada ibu tunggal yang tidak boleh membesarkan anak mereka.
Bukan untuk menggalakkan seks bebas, tetapi demi untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa daripada mati dibunuh ibu atau bapa sendiri. Ketahuilah, ramai wanita yang benar-benar rindu ingin membelai cahaya mata sendiri. Ramai wanita yang mahu merasa nikmat bergelar ibu tapi tidak ada peluang itu.
Rayu saya, janganlah dibuang nyawa yang tidak berdosa itu. Buang ego anda dan biarlah dia hidup untuk menikmati rezekinya di bumi Allah ini, biar tanpa ibu yang melahirkan di sisi.
INFO
Di Malaysia, sebuah pertubuhan beroperasi tanpa berasaskan keuntungan diberi nama OrphanCare yang fungsinya hampir sama seperti Baby Hatch diwujudkan bertujuan untuk memberikan kasih sayang sebuah keluarga kepada anak yatim dan juga bayi yang terbuang.
Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pusat tersebut boleh melayari laman web www.orphancare.org.my
source : ratu utusan
Lepat "banana"
29 minutes ago
No comments:
Post a Comment