Thursday, July 1, 2010

Hindari jangkitan pneumokokus

Hindari jangkitan pneumokokus

Oleh DATUK DR. MUSA MOHD. NORDIN Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi



Ibu bapa harus mengambil perhatian sebarang perubahan yang menandakan influenza di kalangan kanak-kanak. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



WABAK influenza A(H1N1), yang pertama kali dikesan pada pertengahan April 2009, boleh dikatakan reda buat seketika. Namun, kemunculan semula penyakit itu pada akhir suku pertama tahun ini mungkin menandakan permulaan gelombang kedua wabak H1N1. Sungguhpun situasi semasa tidak seburuk 2009, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan terus mengambil langkah untuk mencegah jangkitan dan komplikasi daripada penyakit ini.

Meskipun kebanyakan kes H1N1 tidak serius dan ramai antara mereka yang dijangkitinya sembuh, terdapat juga kes yang teruk dengan komplikasi yang boleh menbawa maut.

Perangkaan dari Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menunjukkan bahawa kes influenza menjadi bertambah buruk disebabkan jangkitan bakteria sekunder, khususnya streptococcus pneumoniae.

Pemantauan bakteria oleh CDC mendapati kes penyakit pneumokokus invasif (IPD) meningkat lebih daripada yang dijangkakan, seiring dengan peningkatan kes kemasukan hospital yang dikaitkan dengan influenza.

Komplikasi yang paling kerap berlaku adalah pneumonia, iaitu jangkitan paru-paru. Malah, dalam setiap wabak influenza yang berlaku di seluruh dunia baru-baru ini, pneumonia yang berpunca daripada jangkitan bakteria sekunder sering didapati menjadi punca penyakit dan kematian.

Ini kerana influenza memudahkan individu mendapat pneumonia dengan melemahkan daya ketahanan paru-paru, membolehkan bakteria seperti streptococcus pneumoniae menyusup masuk dan menjangkiti tisu organ tersebut.

Bakteria itu juga boleh memasuki darah dan bendalir di sekeliling otak, menyebabkan bakteremia dan meningitis.

Influenza dan Kanak-kanak

Agak sukar untuk mengesan influenza di kalangan kanak-kanak kecil kerana mereka kerap kali tidak menunjukkan gejala influenza biasa seperti demam, sakit tekak dan kesukaran bernafas.

Justeru, sebagai ibu bapa, anda harus mengambil perhatian sebarang perubahan yang menandakan influenza di kalangan kanak-kanak.

Segera bawa anak berjumpa doktor jika mereka menunjukkan gejala berikut kerana mereka mungkin telah dijangkiti virus influenza A(H1N1):

*Demam, batuk dan selsema

*Letih, lesu, tiada selera makan, cirit-birit dan/atau muntah

*Sukar bernafas

*Kulit/bibirnya kebiru-biruan

*Mengalami sawan

*Kurang tindak balas dan sukar bangun daripada tidur

*Dehidrasi (jika bayi, lampin tidak basah selama 12 jam)

Sesetengah kanak-kanak, terutama yang berumur bawah dua tahun dan mempunyai sistem imun yang lemah atau mengalami masalah paru-paru, jantung, hati, darah, otak, otot, tulang atau gangguan metabolisme, lebih berisiko dijangkiti influenza yang teruk dan mendapat jangkitan bakteria sekunder.

Mencegah komplikasi pneumokokus

Jangkitan H1N1 yang dikomplikasi oleh penyakit pneumokokal adalah salah satu punca utama kematian yang boleh dicegah dengan imunisasi.

Untuk mencegah penyakit Influenza, CDC mengesyorkan supaya orang ramai mendapatkan vaksin influenza bermusim setiap tahun sebagai langkah pertama menentang influenza bermusim.

Vaksin tiga serangkai yang termasuk influenza H1N1 kini boleh didapati dan kanak-kanak berusia antara enam bulan dan 10 tahun diberi keutamaan, kerana mereka lebih mudah mendapat jangkitan ini.

Di samping itu, vaksin pneumokokus juga disyorkan oleh CDC untuk mengurangkan penyakit dan kematian akibat jangkitan pneumokokus sekunder, terutama sekali di kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Vaksin konjugat pneumokokal (PCV7) untuk kanak-kanak memberi perlindungan daripada tujuh jenis pneumokokus manakala Vaksin Konjugat Protein D Hemofilus Influenzae Tidak Berjenis (PHiD-CV) yang baru melindungi daripada 10 jenis umokokus.

Dapatkan perlindungan vaksin

Penyakit influenza merupakan jangkitan tahunan dan tahun 2009-10 merupakan wabak H1N1 yang masih belum lagi reda.

Ia akan terus menjadi bahagian penting dalam kehidupan manusia. Seperti kebanyakan penyakit, kanak-kanak kecil adalah kumpulan berisiko tinggi.

Ibu-bapa hendaklah memainkan peranan mereka dengan memastikan anak-anak mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya.

Lindungi anak-anak anda dengan vaksin Influenza sebelum terlambat. Anda juga harus ambil tahu tentang vaksin pneumokokus serta vaksin lain yang mencegah jangkitan bakteria lain (seperti Hemofilus Influenzae b) untuk menghindar daripada jangkitan bakteria sekunder yang boleh menimbulkan komplikasi daripada H1N1.

No comments:

Post a Comment