Kanak-kanak dilahirkan dengan fitrah suci dan polos, maka ibu bapa merekalah yang menjadi pencorak kepada kehidupan masa depan anak-anak.
Menurut Pakar Kaunseling dan Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Profesor Madya Dr. Saedah A. Ghani, ibu bapa berperanan penting dalam menunjuk hala yang betul untuk kehidupan anak-anak.
Katanya, anak-anak sekarang memerlukan bimbingan dan galakkan bagi mendapatkan seberapa banyak ilmu yang ada.
Ilmu dan pelajaran memang penting untuk hidup dan membangunkan diri mereka sendiri, malah anak-anak yang mempunyai ilmu lebih berkeyakinan diri.
''Jangan memberikan banyak tekanan kepada anak-anak dalam keinginan mereka untuk belajar yang menyebabkan mereka akan menjadi tertekan, stres dan murung.
''Galakkan anak-anak belajar kerana mereka suka untuk belajar dan mengaut ilmu yang banyak dan bukannya mereka belajar kerana pentingnya untuk lulus dalam peperiksaan,'' jelasnya.
Tambahnya, ibu bapa harus beringat, jangan sesekali mengukur standard kehidupan mereka dan anak-anak sebagaimana anak-anak orang lain. Ukur dahulu kebolehan anak-anak mereka kerana untuk memenuhi kehidupan bukannya perlu menandingi orang lain.
''Kita nampak anak-anak orang lain berjaya. Sebagai ibu bapa kita pun mahu juga anak kita itu berjaya.
''Jangan marahkan anak sekiranya anak-anak tidak lulus periksa sekiranya mereka itu sudah berusaha, tetapi akan marah sekiranya tidak lulus periksa kerana mereka tidak berusaha,'' katanya.
Katanya, beri anak-anak tanggungjawab yang mereka boleh pikul seperti berusaha dan berjaya dalam pelajaran untuk kehidupan mereka sendiri pada masa depan dengan mesej yang jelas.
Malangnya, sekarang ibu bapa memberi mesej yang lain terhadap anak-anak mereka yang mengatakan mereka akan berasa malu sekiranya anak-anak ini tidak lulus periksa mahupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Dalam pada itu Saedah menambah, sekiranya mahu melihat anak-anak itu berubah dari segi psikologi, ibu dan bapa mereka perlu diubah terlebih dahulu.
''Anak-anak yang berumur di bawah 12 tahun hanya mempunyai 3/4 sel neuron berbanding kita . Ini menyebabkan mereka tidak dapat berfikir secara matang seperti kita yang dewasa.
''Justeru untuk memberi bimbingan, ibu bapa perlulah tahu selok-belok untuk membimbing anak-anak,'' katanya.
Saedah berkata, anak-anak yang mempunyai masalah perlu dibimbing secara kaunseling kepada ibu bapa.
Dalam soal ini mereka perlu diberikan latihan secara terapi. Kanak-kanak yang mempunyai masalah psikologi boleh dibimbing menerusi terapi bercerita, drama, melukis dan sebagainya.
''Ini dinamakan pendidikan psiko yang membantu mereka menerusi kemahiran pendidikan terapi.
cara-cara bimbingan kaunseling kanak-kanak secara terapi, bercerita, melukis dan sebagainya.
Dalam pada itu Saedah turut menegaskan ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan sesi kaunselor bagi terapi anak-anak mereka boleh mendapatkan perkhidmatan itu di Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) setiap daerah.
Beliau juga turut memberi cadangan kepada pihak sekolah agar memberi modul melatih secara terapi seperti drama, melukis, bercerita dan sebagainya kepada kanak-kanak sekolah dan remaja.
''Saya menyeru kepada Kementerian Pendidikan untuk membina modul seperti dilakukan JKM untuk membantu kanak-kanak dan remaja secara kemahiran terapi.
''Setakat ini apa yang ada di sekolah hanyalah kaunselor yang efektif untuk kaunseling mereka yang dewasa secara individu tetapi tidak terlatih dalam bidang terapi untuk kanak-kanak,'' jelasnya.
source : utusan
1st 2025 Calendar
10 hours ago
No comments:
Post a Comment