Ingin cemerlang, anak tertekan Ingin cemerlang, anak tertekan
Oleh Rosmah Dain
Sebenarnya tidak terlalu mengejutkan apabila laporan akhbar baru-baru ini menyebut bahawa semakin ramai kanak-kanak dan remaja dikesan mengalami penyakit berkaitan mental atau psikiatri.
Melihat daripada keadaan keperluan kepada kecemerlangan akademik, persaingan dengan rakan-rakan, harapan melampau ibu bapa pada pendidikan anak-anak, menyebabkan golongan muda ini menjadi mangsa kepada keadaan.
Dalam laporan itu juga menyebut apa yang lebih membimbangkan ialah salah satu punca kepada fenomena tersebut ada kaitannya dengan tekanan yang dihadapi golongan tersebut ketika menghadapi peperiksaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata, persaingan era global serta gaya hidup yang mencabar turut menyebabkan masyarakat di negara ini terdedah kepada masalah tersebut.
Beliau memberikan statistik Kementerian Kesihatan yang menunjukkan bahawa sejak lima tahun lalu kira-kira 11.2 peratus penduduk berusia 18 tahun ke atas mengalami masalah berkaitan psikiatri.
Data statistik itu juga menunjukkan sebanyak 20.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia antara lima dan 15 tahun mengalami masalah yang serupa dan dilaporkan menteri itu turut bimbang sekiranya statistik itu terus meningkat.
Tambah Tiong Lai, beliau berharap bagi mengatasi masalah berkenaan, terutama di kalangan kanak-kanak dan remaja, keluarga dan guru perlu membentuk persekitaran yang sihat dan harmoni.
Mengulas topik berkaitan peningkatan penyakit berkaitan psikiatri di kalangan kanak-kanak ini, Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Mariani Md. Nor berkata, perkara itu timbul apabila kanak-kanak terlalu diberi tekanan mengenai kemajuan mereka dalam bidang pelajaran sejak dari usia kecil lagi.
Mariani berkata, fitrah kanak-kanak yang dunia mereka lebih cenderung kepada alam permainan digantikan secara 'paksa' dengan perkara-perkara yang mereka tidak gemari dan memerlukan mereka berfikir secara serius.
''Apabila mereka tidak dapat bermain, tenaga dalaman yang ada di kalangan kanak-kanak itu tidak dapat dibebaskan. Kanak-kanak sebenarnya aktif bermain untuk melepaskan tenaga tersebut, sebab itu kita tengok mereka tidak boleh duduk diam.
''Bila mereka tidak boleh bermain, mereka akan jadi stres atau tertekan,'' katanya.
Malah kerana terlampau memandang kepada kecemerlangan pendidikan, ada tadika-tadika di Lembah Klang ini yang mempunyai sistem peperiksaan dan kecemerlangan.
Apabila anak-anak dihantar ke situ ibu bapa pastilah akan mengharapkan mereka akan mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Untuk mencapai hasrat tersebut ada juga di kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen sejak awal usia lagi.
Menurut Mariani, bermain merupakan aktiviti sukarela yang menyeronokkan dan tidak dipaksa.
Katanya, anak-anak yang berusia tujuh ke 12 tahun akan hanya akur dengan apa keputusan yang diputuskan untuk mereka kerana hak mutlak mereka mengikut kata orang yang lebih dewasa.
''Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan kepada mana-mana pihak kerana sistem persekitaran yang menyebabkan perkara ini terjadi.
" Dalam usia kanak-kanak, bagi mereka adalah bermain sebagai platform utama untuk kemahiran hidup mereka meningkat remaja,'' katanya.
Katanya, sekiranya anak-anak disuruh belajar dan hanya sedikit waktu untuk bermain serta tidak didedahkan dengan pergaulan, ia menyebabkan ada di kalangan anak-anak itu yang tidak mempunyai emosi stabil dengan tidak boleh menerima kekalahan dengan rakan-rakan, tidak mahu ikut giliran dan tidak pandai bergaul.
Namun sebagai ibu dan bapa sudah tentu segala tindakan yang dilakukan adalah hanya untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak itu, tetapi mereka ini juga perlu melihat kepada kehendak golongan itu.
''Apa yang penting kehendak mereka dan masyarakat perlu digabung jalin supaya setiap tindakan yang dilakukan tidak menghasilkan sesuatu yang negatif kepada persekitaran dan ibu bapa.
''Bak kata pepatah, hendak menarik rambut di dalam tepung perlulah berhemah agar rambut tidak putus dan tepung itu tidak bertabur,'' katanya.
Mariani berkata, usah hantar anak-anak ke tuisyen dengan alasan untuk jadikan ia satu kuasa mutlak lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan sekiranya anak-anak tidak suka dan tidak rela.
''Jika dilihat anak-anak itu malas belajar, ibu bapa perlu berbuat sesuatu dengan memberikan motivasi sebagai pemangkin untuk semangat mereka belajar.
''Ibu bapa perlu tengok kehendak zaman kanak-kanak itu. Apa peluang dan kegiatan keseronokan untuk mereka proses dan pelajari. Aturkan pengurusan masa yang sesuai, susun jadual dan sebagainya,'' tambahnya.
Malangnya, tambah Mariani, ibu bapa hanya mahukan kejayaan dicapai oleh anak-anak mereka khususnya dalam peperiksaan dengan pelbagai tekanan dan paksaan tanpa melihat 'siapa' anak-anak mereka.
Ibu bapa rasa mereka kenal dan tahu siapa anak-anak mereka, persoalannya adakah mereka tahu keinginan mereka sebagai anak-anak?
Apabila anak-anak ini sudah mula terlalu tertekan mereka akan berasa stres dan kemurungan yang melampau akibat rasa rendah diri.
Ini akan membawa kepada perkembangan yang negatif kepada kanak-kanak itu di peringkat awal remaja. Justeru menerusi perkembangan emosi yang tidak stabil mereka akan mula melihat kepada pemberontakan dalaman.
Pemberontakan dalaman ini akan dilepaskan pada waktu ketikanya apabila mereka semakin dewasa dengan melakukan gejala sosial lain untuk melepaskan tekanan.
Gejala sosial yang dilakukan itu seperti melepak, malas belajar, merempit dan sebagainya adalah salah satu alternatif untuk cara mereka melepaskan tekanan yang dibebankan kepada mereka dalam kehidupan normal kanak-kanak.
Dalam persoalan ini, jelas Mariani, ibu bapa perlu memberi bimbingan dan memberikan motivasi agar kedua-dua pihak dalam keadaan situasi menang-menang.
Ini bermakna mereka bukan sahaja dapat melihat anak mereka berjaya dalam peperiksaan, anak-anak juga boleh memperoleh kehidupan masa kecil mereka.
''Saya juga mahu agar ibu bapa tidak terlalu melihat kelebihan akademik anak-anak itu sendiri. Ada anak yang mempunyai kelebihan masing-masing dan ini termasuk sahsiah diri mereka, kebaikan diri mereka dan sebagainya.
''Ganjaran anak-anak dengan pujian yang melibatkan kebolehan mereka bukan dalam bidang akademik adalah merupakan kepuasan bagi mereka,'' katanya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Mariani berkata, tingkah laku dan intelektual di kalangan anak-anak adalah berbeza kerana keupayaan kognitif di kalangan kita adalah berlainan.
Justeru cuba terima apa yang ada pada anak-anak seadanya dan jadikan pemangkin kepada anak-anak untuk berjaya dalam bidang mereka.
1st 2025 Calendar
10 hours ago
No comments:
Post a Comment