Monday, January 25, 2010

Beri bayi susu badan - Dr. Zailan

KUALA PILAH 19 Dis. - Golongan ibu dinasihatkan menyusukan sendiri bayi mereka sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan pertama kelahiran bagi melindungi mereka daripada sindrom kematian mengejut bayi (SIDS).

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Zailan Adam berkata, sekiranya langkah itu tidak dititikberatkan, maka ia akan menjejaskan tumbesaran bayi selain mendedahkannya kepada risiko penyakit lain.

''Khasiat susu ibu memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Ini kerana susu ibu mengandungi nutrien dan zat yang amat diperlukan oleh bayi terutama sehingga mencapai usia enam bulan.

''Susu ibu turut mengandungi bahan antiradang. Ia merupakan pelindung awal dalam mengelakkan bayi dari dijangkiti penyakit termasuk kejadian SIDS," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri 2009 di Sekolah Kebangsaan (SK) Nuri Johol di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Johol, Datuk Roslan Md. Yusof turut hadir di majlis tersebut.

Bagaimanapun menurut beliau, ramai di antara golongan ibu kini menghadapi cabaran untuk menyusukan bayi mereka berikutan kekurangan maklumat yang tepat terhadap keperluan itu terutama bagi ibu yang berkerjaya.

''Kajian mendapati perkara utama yang membelenggu golongan ibu ialah keraguan terhadap keupayaan diri untuk meneruskan penyusuan sehingga tempoh enam bulan selain sibuk bekerja.

''Oleh itu, golongan ibu mengambil pendekatan mudah dengan memberikan susu formula kepada bayi mereka," ujar beliau.

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah mewujudkan program khas iaitu kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dalam usaha membantu serta memberi penekanan terhadap kepentingan menyusukan bayi sendiri.

''Tujuan utama kita mewujudkan kumpulan sokongan ini ialah untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan menyusukan bayi sendiri.

''Dalam kumpulan tersebut, ibu yang berpengalaman akan dijadikan model kepada ibu-ibu lain yang mengikuti kumpulan sokongan ini dengan berkongsi pengalaman dan membantu mereka yang mengalami masalah menyusukan bayi," jelasnya.

No comments:

Post a Comment