Tuesday, January 19, 2010

Permata Hati: Sokongan suami penentu kejayaan penyusuan

Permata Hati: Sokongan suami penentu kejayaan penyusuan
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

TOPIK penyusuan ibu minggu lalu, mendapat timbal balas positif daripada pembaca kerana topik penyusuan terlalu luas sebenarnya untuk dirumuskan dalam satu kolum kecil seperti ini. Ada yang menyokong, tetapi tidak kurang juga menyuarakan rasa kurang senang apabila penyusuan ibu selalunya dikaitkan dengan ibu semata-mata, dan terbeban atas bahu ibu saja. Memetik e-mel seorang pembaca, dikenali sebagai Raidah, katanya dia amat bersungguh-sungguh untuk menyusukan anak sulungnya secara eksklusif, malah sanggup menyambung cuti tambahan sehingga empat bulan lantaran memenuhi hasrat itu.

“Malangnya suami dan ibu saya sendiri, langsung tidak memberikan kata-kata perangsang. Suami dan ibu saya selalu cakap, beri sajalah susu formula sebab bila sudah mula bekerja nanti senang dan tidak banyak menangis inginkan susu badan. Memang saya geram dengan sikap mereka yang langsung tidak faham perasaan seorang ibu. Berilah panduan untuk bapa ,” luahnya dalam e-mel berkenaan. Suami tidak memberikan sokongan, ibu sendiri atau mentua yang tidak tahu mengenai penyusuan memang suatu perkara mendukacitakan, dan mereka juga yang selalunya meranapkan impian si ibu. Saya juga pernah berhadapan situasi sama bila keluarga sebelah suami membiasakan beri bayi tepung beras yang dimasak bersama air. “Biar anak kenyang. Anak mak dulupun semuanya makan,” kata ibu mentua saya.
Tetapi saya enggan kerana tahu, pemberian makanan hanya sesuai pada usia enam bulan ke atas. Walaupun tiada paksaan dan hanya pilihan, tetapi saya fikir memang ibu perlu bertegas dengan prinsipnya. Realitinya sokongan orang sekeliling amat diperlukan. Sebagai bapa, anda adalah insan yang paling penting dalam memberi sokongan dan bantuan kepada isteri. Menggalakkan isteri untuk menyusu sendiri adalah permulaan terbaik yang dapat anda berikan kepada bayi anda. Dorongan dan kesabaran anda akan mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan dan ini akan memberi didikan positif terhadap anak-anak anda secara tidak langsung. Pada saat menimang cahaya mata baru inilah isteri cukup memerlukan suami. Suami perlu faham bahawa penyusuan boleh menghindarkan bayi daripada pelbagai penyakit seperti alahan; sakit telinga (otitis media) dan kerap sakit teruk dan dimasukkan ke hospital. Apabila anak sihat, bererti anda dan isteri tidak perlu kerap mengambil cuti menghantar anak ke klinik atau hospital. Lebih penting anda dan suami lebih ceria meluangkan masa bersama ahli keluarga baru, tanpa bersulam rasa kasihan kepada si kecil yang selalu sakit. Dalam bahasa mudah, adalah lebih tenang, menjaga bayi sihat. Kajian sains mendapati susu ibu bukan saja mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi, sebaliknya kandungannya berubah mengikut umur dan keperluan bayi serta mudah dihadam.
Dalam tempoh berpantang dan sepanjang penyusuan berlangsung iaitu dua tahun itu, suami seharusnya membebaskan isteri daripada tekanan dan memperuntukkan makanan berkhasiat kepada isteri kerana perasaan ceria seorang isteri diikuti makanan berkhasiat menjamin pengeluaran susu lebih lancar dan berkualiti. Sejak titisan pertama lagi susu ibu diperkaya dengan antibodi membolehkan tubuhnya alah dengan persekitaran. Sekiranya suami anda belum memahami mengenai kebaikan itu, silalah anda war-warkan kepada mereka. Dalam hal ini saya berfikir ibu seharusnya mementingkan diri sendiri dalam memenuhi keperluan di kecil. Sekiranya terbeban dengan tugasan mengemas rumah dan masalah lain, apa kata ketepikan dulu, sebab tekanan boleh menjejaskan pengeluaran susu. Selamat berjaya. INFO: Sokongan boleh diberikan suami
Galakkan isteri untuk berehat. Penyusuan kadangkala menyebabkan si ibu berasa cepat penat dan lapar. Suami jangan memperkecilkan tubuh isteri dengan menyatakan jangan minum banyak atau makan banyak supaya tidak gemuk. Sebaliknya biarkan isteri makan, tetapi tegur sekiranya makanan itu tidak menyihatkan seperti makanan ringan atau berjeruk.
Ibu yang menyusu perlukan keseimbangan di antara aktiviti dan rehat. Galakkan isteri bersenam ringan seperti berjalan sekitar rumah.
Cuba berikan bantuan dalam kerja-kerja seharian di rumah dan juga dalam penjagaan bayi. Menyapu atau menyidai pakaian boleh meringankan tugas isteri.
Lindungi isteri daripada mereka yang tidak bersetuju dengan penyusuan ibu. Perkara yang biasa didengar dan membuatkan ibu rasa serba salah dalam usaha menyusukan bayi mereka adalah seperti “susu tak cukup kot, sebab itu bayi kerap menangis”; “bayi lapar tu, cuba bagi dia bijirin nasi dalam susu botol”; atau “berilah bayi air kosong biar dia cepat kenyang”.
Cubalah fahami naluri seorang ibu serta perubahan emosi dialami wanita selepas kelahiran. Beri kata-kata perangsang seperti “Saya bangga awak berjaya menyusukan bayi kita”; “Hari ini biar saya memasak dan mengemas rumah, awak berehatlah ye,” atau “Biar saya uruskan anak-anak yang lain, awak berehatlah”.

No comments:

Post a Comment