Friday, January 15, 2010

Mengapa Susu Ibu?


Apa Itu Susu Ibu

Penyusuan susu ibu bermaksud bayi anda disusukan dengan susu ibu secara terus tidak kira samada ianya daripada ibu kandung, ibu susuan ataupun ibu angkat. Bagi ibu-ibu yang baru melahirkan pasti akan menghasilkan susu badan dan dapat menyusukan bayi mereka dengan susu ibu melainkan jika anatomi payudara mereka tidak berkembang dan mengalami beberapa penyakit yang memang tidak disaranka/digalakkan untuk menyusukan bayi mereka. Antara sebab-sebab keinginan untuk menyusukan bayi mereka ialah kerana kebaikan-kebaikan yang bakal diperolehi dan nutrisi-nutrisi yang terkandung di dalam susu ibu itu sendiri. Polisi penyusuan susu ibu Malaysia menyatakan bayi perlu diberikan susu ibu sahaja selama 6 bulan dan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun. Makanan pelengkap mula diberi pada usia bayi 6 bulan.

Mengapa Susu Ibu
  • Kandungan Nutrien
Mengapa susu ibu? Ini kerana di dalam susu ibu mengandungi kandungan lemak, air, gula dan protein dengan kandungan yang sesuai untuk bayi. Di dalam susu ibu juga mengandungi beratus-ratus nutrient yang baik untuk kesihatan dan perkembangan bayi. Antara nutrient-nutrient yang terkandung di dalam susu ibu ialah asid lemak docosahexaenoic (DHA), arachidonic acid (AA), Prebiotik, Probiotik, Kalsium, Vitamin A,Vitamin B, Vitamin C, Vitamin D, Vitamin K dan banyak lagi. Oleh itu, bayi yang diberikan susu ibu mendapat yang terbaik bagi perkembangan otak dan saraf mereka.

Faedah untuk Bayi
  • Sistem Pertahanan Untuk Bayi
Susu ibu juga merupakan imunisasi pertama untuk bayi selepas di lahirkan. Antibodi yang dibentuk melalui susu ibu dapat melindungi bayi daripada penyakit-penyakit dan kuman-kuman yang berada di sekeliling kita. Penyusuan susu ibu yang seawal mungkin juga dapat mengelakkan penyakit kuning yang biasa di alami oleh bayi yang baru lahir. Kajian juga membuktikan bahawa susu ibu dapat mengurangkan masalah penyakit jangkitan. Didalam susu ibu mempunyai bahan anti kuman yang dikenali sebagai macrophages. Bahan ini mampu membunuh dan menghapuskan kulat, virus dan bacteria. Oleh itu, bayi yang meminum susu ibu akan mendapat ketahanan daripada pelbagai penyakit seperti radang paru-paru (pneumonia), jangkitan telinga (otitis media), campak, radang saluran pernafasan (bronchitis), influenza dan lain-lain penyakit lagi.
  • Masalah Gas dan Kembung
Kajian juga membuktikan bahawa risiko masalah cirit birit dan kembung/gas dikalangan bayi berkurangan dan dapat dielakkan sekira Ini kerana terdapat bifidus factor yang membantu menentang nya sekiranya bayi diberi minum susu ibu. Ini kerana terdapat factor bifidus yang dapat membantu Lactobacillus Bifidus (bakteria baik) membiak dan menentang bakteria yang menjadi penyebab masalah kembung dan cirit-birit. Selain itu, susu ibu adalah bersih, sudah sedia tersteril, mempunyai suhu yang sesuai untuk bayi anda pada bila-bila masa sahaja.
  • Mengurangkan risiko
Selain itu, penyusuan susu ibu juga dapat mengelakkan risiko kematian bayi secara mengejut atau Sudden Infant Death Syndrome (Cot Death), rabun malam, alahan, masalah obesity, mengurangkan risiko leukemia serta diabetes mellitus jenis 1 (juga dikenali sebagai diabetes bersandar insulin).

Mengikut kajian yang dibuat oleh Retina Foundation Of Southwest di Texas, bayi yang mendapat susu ibu lebih mampu menguasai bahasa, mampu menyelesaikan masalah, lebih berdikari dan cemerlang di sudut memori. Ini semua kerana kandungan asid lemak docosahexaenoic (DHA) dan arachidonic acid (AA) yang diperolehi secara serentak daripada susu ibu.

Faedah untuk Ibu

Kebaikan penyusuan susu ibu tidak hanya terhad kepada bayi sahaja. Ibu juga akan medapat manfaat dalam proses penyusuan susu ibu.

Penyusuan seawal mungkin dapat mempercepatkan pengecutan dan mengecilkan rahim selepas melahirkan. Ia juga dapat mengurangkan risiko pendarahan selepas bersalin. Ibu yang menyusu mempunyai tahap hormon prolaktin yang tinggi yang mana hormon ini membantu anda untuk lebih tenang dan akan membantu anda berehat ketika menyusukan bayi anda.

Ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka didapati akan mendapat semula berat badan asal ketika sebelum mengandung dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun selepas melahirkan. Ini kerana lemak-lemak yang terkandung didalam badan akan terbakar apabila proses penyusuan berlangsung. Namun begitu, ianya juga bergantung kepada diet dan corak pemakanan ibu.

Selain itu, risiko untuk mendapat penyakit barah rahim, barah buah dada, barah ovary serta masalah osteoporosis dapat dikurangkan dengan penyusuan susu ibu.

Penyusuan susu ibu juga melalui kaedah Lactational Amenorrhea (LAM) merupakan salah satu kaedah merancang keluarga yang paling ekonomi. Kaedah ini dapat dilaksanakan sekiranya Ibu menyusukan anak mereka secara esklusif dan juga tidak didatangi darah haid selama 6 bulan.

Selain daripada itu, susu ibu bukan setakat memberikan faedah daripada segi perubatan sahaja tetapi juga dari segi ikatan kasih sayang antara ibu dan anak, yang mana ianya akan lebih erat ketika penyusuan susu ibu berlangsung.

Dalam erti kata yang lain, susu ibu adalah yang terbaik samada dari segi khasiat mahupun dari segi faedah dan kebaikannya untuk bayi dan anda.


Ini merupakan hasil tulisan Puan Zatul Hijanah Ramzi untuk Majalah Mami & Baby edisi Julai 2009

No comments:

Post a Comment