TIGA puluh atau 40 tahun dulu ketika perkhidmatan kesihatan belum begitu meluas proses bersalin atau melahirkan bayi di rumah merupakan situasi biasa di kalangan masyarakat.
Proses kelahiran secara normal di rumah berlaku tanpa peralatan-peralatan canggih sekadar kehadiran bantuan 'mak bidan' dan jururawat desa (jika ada).
Seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dalam dunia perubatan, sebahagian besar proses kelahiran berlaku di hospital dengan bantuan para doktor dan jururawat serta peralatan-peralatan moden.
Malah sesetengah bakal ibu memilih untuk bersalin secara pembedahan atau menikmati kecanggihan ubat-ubatan dengan fungsi untuk mengurangkan sakit bersalin.
Sebab itu bakal ibu zaman ini sudah terlalu biasa dengan istilah-istilah seperti ceaserean, induce, epidural, vasektomy, etonox dan pelbagai lagi teknik rawatan bagi membantu memudahkan proses bersalin.
Sedangkan kaedah bersalin secara normal pula hanya relevan di hospital-hospital kerajaan (jika tiada komplikasi yang melibatkan nyawa ibu atau bayi).
"Bersalin adalah satu proses semula jadi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada setiap wanita yang mengandung.
"Tidak ada mana-mana wanita mengandung yang akan kekal mengandung selama hayat mereka, cukup tempoh anak akan keluar melalui saluran peranakan ibu sebagai satu tindak balas semula jadi sistem tubuh mereka," ujar Nadine Ghows, pengasas The Gentle Birthing Group (GBG), sebuah kumpulan sokongan untuk ibu-ibu yang memilih untuk bersalin secara normal.
Kini menurut Nadine, di negara-negara Eropah bersalin normal di rumah menjadi pilihan kebanyakan ibu-ibu di sana.
Malah kebanyakan daripada mereka juga berminat memilih kaedah bersalin normal di dalam air untuk menambah pengalaman melahirkan anak.
"Ada di kalangan wanita yang mula mempersoalkan tentang penggunaan ubat-ubatan ketika proses bersalin.
"Kelahiran normal bukan sahaja memberikan satu kelahiran yang tanpa sebarang intervensi malah ia memberi si ibu membuat keputusan sendiri untuk melalui proses bersalin yang mereka mahu.
"Kita perlu didik minda kaum ibu bahawa setiap penggunaan ubat-ubat kimia memberi kesan kepada bayi yang dilahirkan.
"Sebagai contoh, seorang ibu yang mengambil gas etonox untuk mengurangkan rasa sakit ketika bersalin mungkin tidak mengetahui gas tersebut boleh sampai kepada bayi mereka dan sedikit sebanyak memberi kesan pada bayi. Antaranya bayi mungkin akan lambat bertindak balas terhadap penyusuan dan beberapa masalah lain lagi yang masih dalam kajian.
"Jika kandungan tidak mempunyai apa-apa komplikasi, pilihan terbaik ialah bersalin secara normal tanpa sebarang intervensi," jelasnya yang ditemui di kediaman ibunya yang terletak di Subang, Selangor, baru-baru ini.
GBG baru saja ditubuhkan oleh kumpulan ibu yang mahu dan memilih untuk melahirkan bayi mereka secara normal tanpa sebarang tekanan untuk menggunakan kaedah intervensi yang tidak begitu diperlukan.
Kumpulan sokongan itu juga seboleh-bolehnya memberikan galakan dan sokongan terbaik kepada si ibu yang mahukan kelahiran bayi mereka secara normal.
"Ketika mengandungkan anak sulong saya ini, saya berkesempatan bertemu dengan ramai kenalan, keluarga dan wanita biasa yang berkongsi pengalaman melahirkan bayi.
"Selain itu saya juga banyak membaca bahan bacaan tentang kelahiran, belajar senaman dan menghadiri kelas pranatal dan terapi alternatif seperti akupuntur," jelasnya yang melahirkan anaknya, Sarah Ayesah Shafie, ketika berada di Australia dua tahun lalu.
Hasil daripada bertukar-tukar pandangan dan pembacaannya Nadine mendapat kesimpulan sendiri bahawa sokongan, penjagaan dan galakan yang diterima oleh bakal ibu daripada kenalan dan keluarga menjadi penentu sama ada kelahiran yang bakal berlaku secara normal atau sebaliknya.
Malah katanya, ramai wanita yang mampu bersalin normal memilih untuk bersalin di rumah melalui nasihat dan pengawasan pegawai perubatan.
"Jika ibu memilih untuk bersalin di rumah dengan kaedah bersalin di dalam air, dia perlu memaklumkan kepada hospital berdekatan agar langkah serta peraturan sepatutnya akan dapat diikuti.
"Lazimnya ibu akan diawasi oleh seorang doktor dan jururawat dan mengikut pengalaman mereka yang pernah melahirkan anak di dalam air, proses kelahiran tersebut kurang sakit berbanding kelahiran biasa," jelasnya lagi.
Kelahiran dalam air di Malaysia
Nadine percaya memang terdapat ramai wanita di Malaysia yang bersalin secara normal dan tidak kurang juga yang berminat mencuba kaedah bersalin di dalam air.
"Sehingga kini terdapat dua hospital di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kelahiran di dalam air iaitu di Hospital Pantai Kuala Lumpur dan Island Hospital Penang," ujarnya yang kini sedang mendalami bidang pendidikan kelahiran bayi.
Begitupun di negara ini, kaedah bersalin di dalam air masih belum dipraktikkan dengan meluas.
"Terdapat banyak jenis kolam untuk bersalin dengan pelbagai saiz dijual dengan meluas di pasaran Britain. Kolam tersebut juga ada dijual di Internet serta farmasi tertentu di Malaysia," katanya.
Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang GBG bolehlah menghantar soalan dan kemusykilan anda kepada alamat e-mel: mygentlebirth@gmail.com
1st 2025 Calendar
1 day ago
No comments:
Post a Comment