MELAKA 18 Nov. - Seorang suri rumah berusia 47 tahun membuktikan faktor usia bukan penghalang untuknya menyusukan sendiri anak angkatnya, Puteri Nur Balkis Kassim yang berusia 19 bulan.
Rupiah Hairan, dari Kampung Sempang, Merlimau, Jasin di sini berkata, dia tidak berasa malu untuk berjumpa doktor bagi menghasilkan susu badan untuk bayinya yang dipanggil Balkis.
Katanya, doktor memberikannya pil untuk merangsang pengeluaran susu badan walaupun dia tidak mengandung.
Menurut wanita itu, suaminya, Kassim Harun, 53, dan doktor terbabit memberikan galakan terhadap hasrat murninya itu kerana menyedari khasiat susu ibu kepada bayi mereka.
''Walaupun tidak dapat melahirkan anak, saya nekad untuk menyusukan anak angkat dengan susu badan yang menjadi impian sejak saya mula berkahwin.
''Saya hanya perlu mengambil beberapa pil yang diberikan percuma oleh pihak Hospital Melaka dan selepas sebulan memakan pil, payu dara mula mengeluarkan susu,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Ibu Angkat Susuan pada Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Melaka di sini semalam.
Majlis dirasmikan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Asmah Abd. Rahman.
Rupiah menganggap adalah satu kerugian sekiranya golongan wanita tidak menggunakan kurniaan Allah kepada mereka untuk menyusukan sendiri bayi masing-masing.
Tambahnya, menghasilkan susu sendiri di kalangan wanita yang tidak mengandung tidak memerlukan sebarang pembedahan dan tidak perlu berhadapan dengan kesukaran.
''Memang sejak sebelum berkahwin saya teringin menyusukan sendiri anak dengan susu badan, sebab itu saya nekad melakukannya walaupun mengambil anak angkat.
''Selain terbukti baik untuk kesihatan, suami saya pun tidak menghadapi masalah seperti terbatal air sembahyang jika menyentuh Balkis apabila dia besar kelak,'' katanya.
Tambahnya, dia juga akan terus mengambil pil tersebut selagi Balkis memerlukan susu badan selain bersedia mengambil beberapa lagi anak angkat.
1st 2025 Calendar
1 day ago
No comments:
Post a Comment