Thursday, February 4, 2010

Permata Hati: Perhatikan perkembangan anak

SEJAK lahir hinggalah pandai meniarap, merangkak, berjalan dan berlari sebenarnya membina perkembangan otot dan saraf kecil si manja. Ketika melahirkan anak sulung, Najah, dia seorang yang kurus tetapi aktif. Carta perkembangannya ketika bayi pun menunjukkan graf berat badannya berada di bawah paras berat sesuai usianya.

Ketika memasuki usia berjalan, kira-kira setahun lebih, dia langsung tidak jalan jatuh, sebaliknya terus berjalan. Sebagai seorang ibu, tentulah saya gembira dan menyifatkan sebagai bonus untuk dirinya dan juga saya.

Dan hingga ke hari ini saya dapati segala perkembangannya dirinya normal. Cuma masih dalam kategori yang kurus walaupun seleranya besar.
Realitinya saya tidak begitu mengambil pusing mengenai perkembangan kanak-kanak. Pada saya apabila kanak-kanak itu boleh berjalan, berlari dan bercakap dengan jelas adalah petanda kesihatannya.

Bagaimanapun ketika menemubual seorang ibu, Hamidah Atan, yang memiliki anak disleksik mengubah persepsi itu. Katanya: “Anak akak ni ‘melangkau’ tahap merangkak dan jalan jatuh sebaliknya terus berlari. Orang kata sebab itulah tanda awal mengenal kanak-kanak disleksik sungguhpun perkembangan lain seperti bercakap, semuanya ok,” kata kakak itu kepada saya.

Serentak itu saya teringatkan Najah mengenai kelebihannya ‘melangkau’ tadi. Tetapi kata kakak itu lagi, kalau aspek lain termasuk emosi baik dan tidak berhadapan masalah mengenal huruf, maknanya okay. Alhamdulillah.

Sebenarnya apa yang ingin disampaikan ialah setiap ibu bapa perlu memantau perkembangan anak masing-masing. Sekiranya si manja ‘melangkau’, cuba perhatikan aspek lain termasuk emosi kerana kanak-kanak disleksik berbeza daripada beberapa segi terutama berkaitan mengenal huruf selain kerap memberontak. Ini mungkin dikaitkan dengan kita sendiri yang tidak faham apa yang cuba disampaikan itu.

Ini kerana setiap perubahan ketika meniarap, pasti berlaku bayi mengutip benda-benda kecil dengan jari. Perkembangan ini membolehkan dia menguatkan perkembangan motor kecilnya, membolehkan kanak-kanak bersedia memegang pensil untuk mewarna dan menulis selepas itu.

Ini dikaitkan juga dengan aspek membina penumpuan pada bahagian saraf otak kerana mengutip benda kecil adalah sebahagian ‘tugas’ untuk terus memberikan perhatian apabila berhadapan dengan arahan yang diberikan kelak termasuk memandang tepat kepada sesuatu objek. Ini diikuti dengan merangkak yang mana sebagai sebahagian usaha memberikan persediaan kepada tubuh badan untuk beraksi.

Itu belum lagi kalau disentuh mengenai aspek perkembangan kognitif lain termasuk senyum, ketawa dan menangis. Kementerian Kesihatan menerusi Klinik Ibu dan Kanak-kanak sebenarnya memberikan komitmen tinggi kepada ibu bapa mengenali anak masing-masing. Dan ucapan terima kasih harus diberikan kepada jururawat desa ini yang mana setiap kali kunjungan, mesti perkembangan anak diambil kira dan dimasukkan ke dalam rekod bayi.

Ketika kunjungan bulanan ke klinik, anak saya Naily, (ketika itu berusia enam bulan) didudukkan dengan diampu bahagian belakangnya. Saya tidak pernah buat begitu kerana petua orang tua-tua, kalau budak belum pandai duduk, jangan didudukkan kerana boleh menyebabkannya ‘patah pinggang’. Apabila jururawat itu menunjukkan dua objek berwarna merah terang, Naily di dapati lambat satu saat saja, mencapai permainan itu.

Justeru jururawat berkenaan menyarankan saya perlu kerap memberikan permainan, berkomunikasi bertujuan merangsang pemikirannya kerana satu saat bertindak pada usia itu dikatakan agak perlahan.

Terus-terang saya katakan sebagai ibu, saya tidak perasan atau mengambil mudah hal sebegitu (fikir mudah, tetapi hakikatnya cukup besar untuk bayi seusia itu membina perkembangan mindanya). Justeru, melahirkan anak sihat perkembangan mental dan fizikal, si kecil perlu dirangsang.

Bagi kanak-kanak berhadapan masalah pembelajaran, umpamanya disleksik, boleh dikesan pada peringkat awal juga kerana banyak ‘petanda’ diberikan seperti tidak boleh memberikan tumpuan dan kerap meragam. Lagi cepat dibantu, lagi baik, kerana ia membolehkan mereka terus membesar dalam persekitaran yang lebih menyeronokkan dan tidak lagi dilabel sebagai anak yang nakal. Di bawah panduan mengenal pasti kanak-kanak disleksik untuk ibu bapa.

INFO:

Kesukaran berbahasa.
Ketidakseimbangan dengan kebolehan intelektual.
Tidak lancar ketika membaca sesuatu bahan bercetak.
Tidak dapat menulis dengan lancar dan tepat. Agak sukar meniru tulisan tertera pada papan hitam atau buku.
Mata mudah penat selepas beberapa mini memberikan tumpuan kepada tulisan.
Daya tumpuan yang terhad seperti pendengaran dan pengamatan visual

No comments:

Post a Comment