Tuesday, February 9, 2010

RATU Permata Hati: Tabiat menghisap jari tidak mudarat

SEMEMANGNYA saya susah hati bila melihat bayi perempuan saya Naily Hanani yang kini berusia tujuh bulan mempunyai tabiat menghisap jari. Tiga anak saya sebelum ini tidak mempunyai tabiat sebegitu.

Naily akan menghisap dua jari. Jari hantu dan jari manis sebelah kanannya khususnya ketika melayan lena. Sewaktu saya mengandungkannya saya berpeluang melihat aksi dia menghisap tangannya ketika doktor melakukan ujian ultra bunyi.

Pada ketika itu saya sangat teruja kerana ia adalah pengalaman pertama saya melihatnya menjadikan saya langsung tidak hairan apabila selepas dilahirkan, anak saya menyambung tabiat menghisap jarinya itu. Bagi saya ia sungguh comel!

Saya fikir tabiat ketika dalam kandungannya itu hanya diteruskan untuk beberapa bulan saja, tetapi nyata sampai ke hari ini.

Sebetulnya saya dan suami kurang selesa, sebab ada anak saudara kami suka hisap jari sampai usia enam tahun! Malah teringat saya ada kawan di sekolah menengah dulu, yang gemar menghisap jari dan menunjukkan kepada saya “Inilah jari aku bila gemar hisap jari. Gemuk dan pendek,” katanya. Ngeri saya melihatnya.

Dan, sudah tujuh bulan juga puas kami ketepikan jemari itu daripada terus masuk ke dalam mulutnya, termasuk kakak dan abangnya yang akan menepis jemari kecilnya itu, tetapi ternyata Naily pun pandai. Bila dimasukkan ke dalam buaian, dia akan meniarap dengan muka ke sebelah bawah. Nah! tiada siapa boleh bawa keluar jarinya itu lagi. Maka waktu itu dia akan seronok menghisap jemarinya sampai lena, dan selalunya keluar bunyi nyot... nyot, tanda begitu bersungguh-sungguh. Malah kalau terjaga daripada lena pun, dia akan sepantas kilat menghisap jari itu.

Ada teman sepejabat mengatakan tabiatnya akan menyebabkan lelangit bayi tinggi dan turut menyebabkan gusinya naik ke atas dan sekali gus memungkinkan giginya tidak tersusun elok. Memberinya puting susu semata-mata, pun saya tidak gemar.

Bagaimanapun, laman kesihatan kanak-kanak yang saya layari baru-baru ini ‘about our kids’, melegakan saya. Ia menyebut tabiat itu tidak akan menjejaskan pertumbuhan giginya dan hanya bersifat sementara. Kata laman itu, setiap bayi sebenarnya mempunyai sifat ingin menghisap secara semula jadi.

Didapati, keinginan untuk menghisap paling tinggi antara satu hingga satu setengah jam selepas bayi dilahirkan. Atas alasan itulah, ibu digalakkan memulakan penyusuan susu ibu seawal yang mungkin.

Kajian juga menunjukkan bahawa bayi memang suka menghisap dan ia tidak dipengaruhi oleh penyusuan. Laman itu menyebut, bayi yang suka menghisap jari atau tangan didapati lebih mudah tidur malam kerana ia dapat membuatkannya selesa.

“Sesetengah bayi akan menghisap jari apabila mereka berasa penat, bosan atau perlukan belaian. Bayi anda bukannya lapar selepas menyusu. Kelakuannya itu adalah normal. Janganlah risau. Tabiat ini akan berkurangan apabila mereka mempelajari benda-benda baru. Kebiasaannya, tabiat sebegini akan hilang apabila bayi mencecah umur sembilan bulan hingga setahun,”.

Maknanya saya perlu tunggu lagi dua bulan melihat hasilnya. Alhamdulillah.

Sementara itu menurut kajian yang dilakukan oleh American Dental Association, turut bersetuju, tabiat menghisap jari tidak akan memudaratkan dan menyebabkan masalah kepada pertumbuhan gigi dan gusi kecuali jika ia diteruskan melebihi usia empat hingga lima tahun. Kajian mendapati antara 85 hingga 99 peratus kanak-kanak akan berhenti menghisap jari atau tangannya sebelum mencecah usia ini.

Justeru, saya fikir saya dan ibu-ibu yang menghadapi masalah sebegini tidak perlu susah hati lagi. Kata orang tua-tua, kalau anak suka hisap jari, caranya mudah. Letakkan benda-benda pahit pada jari yang suka dihisapnya itu, sudah pasti dia akan berhenti! Nampaknya kalau tabiat itu diteruskan ke usia lebih empat tahun, saya sanggup lakukannya.

INFO: Hisap jari



Lebih tiga suku bayi gemar menghisap jari sehingga ke usia setahun.


Tabiat ini dilakukan lantaran rasa seronok, dan mententeramkan diri sendiri dan tidak boleh dikaitkan dengan masalah emosi lain.


Pakar kanak-kanak bersetuju tabiat itu tidak perlu dirisaukan kerana ia boleh berhenti sendiri pada usia lima tahun.


Bagaimanapun kira-kira 15 peratus kanak-kanak akan terus menghisap jari selepas usia lima tahun dan dalam keadaan inilah ia boleh mencetuskan masalah perhubungan sosial dengan rakan sebaya apabila sudah masuk sekolah.


Tabiat ini boleh mencetuskan masalah gigi apabila berlanjutan sehingga lima tahun, bila gigi dewasa mulai mengambil alih gigi susu. Ia dikatakan boleh menjejaskan masalah mengunyah dan masalah lain kepada jari seperti kulit kering dan jangkitan kuman.

No comments:

Post a Comment