Pendekatan tradisional bantu kurangkan gejala ganggu ketika, selepas hamil
BOLEHKAH urutan refleksologi membantu mengurangkan rasa loya dan muntah-muntah ketika awal kehamilan? Adakah makanan pedas akan mengganggu bayi di dalam rahim? Adakah masalah kesihatan akan datang mengganggu hidup wanita yang tidak berpantang selepas bersalin?
Kita sering dihujani dengan pelbagai nasihat mengenai apa yang perlu dilakukan atau apa yang boleh dielakkan ketika hamil dan tempoh berpantang. Kadangkala sukar bagi kita untuk mengetahui apa yang betul dan selamat atau adakah ia hanyalah tahyul semata-mata.
Jururawat dan bidan terlatih, Jennifer Hor, berkata banyak pantang larang bagi seorang wanita yang mengandung, namun apa yang penting ialah mengetahui makanan yang boleh atau tidak boleh dimakan.
“Tidak kira apa jenis makanan yang anda tidak dibenarkan makan mengikut kepercayaan budaya anda, selalunya gantikan makanan itu dengan makanan yang mengandungi zat yang sama supaya anda akan mendapat diet seimbang,” katanya.
Kebanyakan persoalan ‘boleh’ atau ‘tidak’ mengenai kehamilan berkait rapat dengan makanan. Menurut perubatan tradisi Cina, ubat dan makanan berkongsi sumber yang sama. Dalam erti kata lain, kebanyakan makanan juga adalah ubat. Tidak ada perbezaan yang jelas antara kedua-duanya.
Semua herba dan makanan dikategorikan menurut kualiti asas dan rasa, seterusnya dibahagikan menurut ‘sifat semula jadi’ atau ‘tenaga’ mereka, iaitu melegakan, panas, sejuk dan menyejukkan.
Apa yang menariknya, semua bangsa di Malaysia mempercayai akan kumpulan makanan yang ‘panas’ dan ‘menyejukkan’, walaupun setiap bangsa mungkin mempunyai sedikit perbezaan mengenai kesannya.
Sebagai contoh, masyarakat Cina mungkin dinasihatkan supaya kurang mengambil makanan yang panas, termasuklah kambing dan daging rusa, pelbagai jenis kacang, kayu manis, makanan pedas dan sesetengah buah-buahan tropika seperti longan dan durian. Ini kerana, dari segi perubatan tradisional, seorang bakal ibu mudah terkena panas dalaman atau ‘panas janin’ kerana dia tidak datang bulan.
Katanya, tanggapan bahawa wanita hamil senang mendapat panas dalaman dan tidak boleh mengambil makanan yang ‘panas’ seperti makanan pedas atau durian adalah mitos. “Menurut UK’s Food Standard Agency, tiada salahnya menikmati makanan pedas ketika mengandung atau menyusukan bayi, asalkan anda tidak menghadapi sebarang masalah selepas memakannya. Bagaimanapun, sekiranya bayi anda nampak resah selepas anda makan rendang misalnya, maka ambillah makanan yang kurang pedas sedikit sehinggalah bayi anda besar sedikit.
“Anda juga boleh menikmati durian, tetapi secara sederhana. Tiada bukti saintifik yang mengatakan durian tidak selamat buat wanita hamil, mahupun bukti yang menunjukkan durian menyebabkan tekanan darah tinggi atau ruam lampin pada bayi yang baru lahir. Sesetengah penyelidik juga menekankan faedah sesetengah bahan antioksidan dan antibakteria yang terdapat dalam durian yang mungkin memberi manfaat kepada kehamilan. Bagaimanapun, pengambilan durian mestilah terhad kerana kandungan gula dan karbohidratnya yang tinggi,” katanya.
Pakar perubatan tradisional Cina juga mengatakan ibu hamil mungkin mengalami sedikit anemia kerana darah dan khasiat makanan dialih dan disimpan supaya bayi membesar dengan sihat selain untuk menyediakan susu badan. Oleh itu, wanita yang akan bergelar ibu, mungkin dinasihatkan untuk mengambil makanan berkhasiat terutama yang mengandungi protein dan zat besi seperti daging tanpa lemak, daging lembu, ayam dan telur.
Perlu diingatkan, telur mentah atau kurang masak, seperti telur separuh masak yang sangat digemari di negara kita, mesti dielakkan kerana ia mungkin mengandungi bakteria salmonela. Bukan itu saja, daging perlulah dipastikan betul-betul masak dan tiada bahagian yang berwarna merah jambu atau merah. Pastikan airnya jernih, terutama apabila dipanggang atau menjadi sebahagian daripada makanan yang sedia dihidangkan. Di restoran, pesan supaya daging dimasak sepenuhnya dan elakkan ikan dan daging mentah seperti sushi dan ‘yee sang’.
Refleksologi
Rasa loya dan muntah-muntah pada awal kehamilan menyebabkan hari begitu sukar dan memenatkan. Maka, sesetengah bakal ibu beralih kepada urutan refleksologi untuk merawat keadaan mereka – tanpa menyedari yang urutan refleksologi sebenarnya tidak disyor oleh perubatan tradisional Cina kepada wanita mengandung.
Dalam perubatan tradisional Cina, urutan refleksologi adalah teknik kuno yang dianggap berkesan untuk mengekalkan kesihatan. Manfaat utamanya adalah melegakan rasa penat, merehatkan dan melindungi daripada sesetengah penyakit. Bagaimanapun, keberkesanan urutan refleksologi belum lagi terbukti dan tiada sebarang data statistik yang menunjukkan urutan refleksologi dapat merawat muntah dan rasa loya sewaktu mengandung.
Sesetengah pakar perubatan tradisional mungkin juga percaya bahawa urutan refleksologi boleh menyebabkan keguguran, walaupun tiada data statistik untuk membuktikan atau menyangkal teori ini.
Menghalang dan mengelakkan kecederaan untuk mengekalkan keselamatan ibu dan bayi adalah keutamaan dalam penjagaan antenatal. Itulah sebabnya pakar perubatan tradisional akan memberitahu, sekiranya terdapat ketidakpastian dan risiko, anda perlu berhati-hati.
Ramai wanita hamil juga tidak mengamalkan senaman kerana mereka percaya bahawa pergerakan yang banyak boleh membahayakan kesihatan atau mencederakan bayi.
Bagaimana Hor berkata, wanita hamil sebenarnya digalakkan mengamalkan senaman, dengan syarat berbincang dengan doktor mengenai senaman yang paling sesuai.
“Senaman adalah baik kerana dapat menceriakan mood anda, mengurangkan keletihan dan membantu memudahkan saat-saat bersalin. Senaman tahap rendah sebenarnya boleh dilakukan. Senaman yang tidak memberatkan seperti berenang dan berjalan antara yang terbaik,” katanya.
Pantang selepas Bersalin
Masyarakat Cina, Melayu dan India mempunyai amalan pantang mereka sendiri selepas bersalin. Mungkin ada sedikit perbezaan, tetapi tujuan yang sama iaitu untuk membantu ibu dan tubuh badannya pulih daripada tekanan melahirkan anak.
Terdapat beberapa amalan yang diamalkan berasal daripada kepercayaan yang badan anda ‘tidak seimbang’ dan memasuki ‘tahap sejuk’ kerana kekurangan darah dan tenaga sewaktu bersalin.
Fokus tempoh pantang adalah untuk mengembalikan tenaga badan dan menguatkan imun sistem anda. Di negara ini, tempoh pantang dipanggil ‘pengurangan’ kerana ibu baru dikatakan perlu dikuarantin bersama bayi mereka, malah ada amalan yang melarang ibu baru itu daripada menerima pelawat kecuali ahli keluarga rapat sehingga tempoh pantang berakhir.
Secara tradisionalnya, ibu atau ibu mentua akan menjaga ‘ibu baru’ ketika tempoh pantang ini. Kebanyakan ibu berbangsa Cina yang mampu juga akan menggaji seorang penjaga atau pui yuet (perkataan Kantonis bermaksud ‘teman sebulan’) yang akan menjaga keperluan si ibu dan bayi, supaya boleh pulih serta bertenaga semula.
Apakah yang anda perlukan lakukan ketika tempoh ini? Anda perlu patuhi banyak perkara yang boleh dibuat dan dielakkan serta mematuhi diet yang ketat – sesetengahnya mungkin terlalu terbatas!
Berapa lamakah tempoh pantang?
Bagi masyarakat Cina, tempoh pantang biasanya selama satu bulan mulai dari tarikh kelahiran bayi. Wanita Melayu lazimnya mempunyai tempoh pantang selama 40 hingga 44 hari. Bagi wanita India pula, tempohnya berbeza dari 30 hingga 40 hari – bergantung kepada daerah asal keluarga di India.
Bagi semua bangsa, tempoh pantang itu ialah masa untuk wanita berehat dan mengelakkan sebarang kerja fizikal. Sepanjang tempoh itu, seks tidak dibenarkan kerana anda dianggap sebagai belum pulih sepenuhnya. Anda dikehendaki tinggal di dalam rumah ketika tempoh pantang itu, maka ada kalanya boleh membosankan!
Amalan dan halangan
Perkara yang dihalang oleh masyarakat Cina ketika berpantang termasuklah mencuci rambut sepanjang tempoh itu, elakkan daripada terdedah kepada elemen sejuk seperti air sejuk atau suhu rendah daripada pendingin hawa atau kipas angin, dan mandi hanyalah dengan air suam berserta herba yang disediakan khas.
Semua larangan itu membantu memastikan badan anda mengekalkan sebanyak haba yang boleh dan dipercayai akan membantu anda mengelakkan masalah kesihatan pada kemudian hari seperti reumatisme, artritis, sakit kepala dan sakit badan.
Pada masa sama, orang Melayu selalunya mendapatkan tukang urut untuk mengurut badan dan membalut perut dengan kain panjang atau bengkung. Mereka juga menggunakan batu panas atau bertungku pada perut mereka untuk menaikkan rahim.
Dipercayai bahawa amalan itu membantu rahim mengecut dengan cepat dan membuang ‘angin’ atau sebarang kekotoran yang tertinggal di dalam rahim serta membantu mengembalikan semula susuk tubuh seperti sebelum mengandung dengan lebih cepat.
Wanita India perlu mandi sekali dengan air herba dan berurut setiap hari dengan campuran minyak khusus, seperti minyak biji sawi yang dipercayai membantu menenangkan dan pulih seperti sedia kala dengan lebih cepat.
Diet khas
Diet masyarakat Cina – Anda perlu makan pelbagai makanan yang ‘memanaskan’ badan. Ini termasuklah halia dan tonik tradisional yang dimasak dengan herba. Makanan yang disediakan dengan bahan itu dipercayai dapat memperbaiki pengaliran darah dan menguatkan sendi.
Diet masyarakat Melayu – Anda akan digalakkan memakan ikan segar seperti ikan haruan untuk menyembuhkan bahagian dalaman badan. Sesetengah ikan seperti ikan kembung dan lain-lain makanan laut seperti kerang, udang dan kerang mesti dielakkan kerana ia boleh menyebabkan alahan dan kegatalan.
Diet masyarakat India – Sesetengah sayuran jenis labu seperti lauki dan tori dipercayai dapat meningkatkan pengeluaran susu. Daun sirih juga dapat membantu dalam penyusuan.
Sekiranya anda tidak ingin mengamalkan pantang, maka anda tidak perlu. Ini adalah satu keputusan antara anda dan suami anda, dengan minda terbuka agar keputusan itu adalah terbaik buat keluarga anda. Sekiranya, anda ada sebarang ketidakpastian atau kemusykilan berkenaan keselamatan akan pantang atau larangan kehamilan, rujuklah dengan doktor anda.
Maklumat dalam artikel ini dipetik dari www.babycenter.com.my.
Pengalaman Intan Maziah
BAGI Intan Maziah Mohamed Salihin, ketika tempoh berpantang, beliau melalui pelbagai pengalaman unik kerana terlalu banyak pantang larang yang perlu diikuti selama 44 hari! Sesetengah pantang itu kurang menyenangkan dan menghairankan, tetapi beliau tetap turuti bagi mengelak masalah akan datang.
Begitupun, katanya, ada amalan yang digemari sepanjang tempoh berpantang iaitu berurut tradisional selepas 10 hari bersalin.
“Saya diberitahu bahawa mengurut dapat memperbaiki edaran darah, membuang ‘angin’ daripada rahim, ‘menaikkan’ rahim supaya tidak menggeleber, membetulkan urat dan memulihkan bentuk badan seperti sebelum mengandung. Yang bagusnya ialah ia sungguh menenangkan!
“Bagaimanapun, tukang urut saya menggunakan jamu untuk mengurut saya dan saya tidak suka baunya. Oleh itu, saya minta dia gunakan minyak Johnson’s baby yang sememangnya saya gunakan setiap hari untuk melembapkan kulit saya. Bau minyak bayi dan teksturnya yang lembut membuatkan sesi mengurut itu sangat menenangkan,” katanya.
Selain mengurut, beliau juga perlu memakai bengkung tradisional dan membalut perut untuk mengembalikan bentuk badan seperti sebelum hamil. Kadangkala bengkung itu menjadi tidak selesa terutama dalam cuaca panas seperti di Malaysia, dan kulit menjadi berminyak dan gatal kerana berpeluh.
“Saya hampir putus asa dengan proses membengkung ini, tetapi ibu saya mendapat idea. Dia menasihatkan saya supaya menyapu bedak Johnson’s baby setiap hari sebelum menggunakan bengkung dan sungguh berkesan dalam mengekalkan kulit saya agar sentiasa segar dan kering.
“Setiap hari, bidan saya akan menyediakan air herba untuk mandian saya kerana ini akan membantu mengembalikan tenaga dan membuang angin. Saya tidak dibenarkan membasuh rambut ketika tempoh berpantang. Kegatalan di kulit kepala saya sangat-sangat mengganggu dan akhirnya saya memilih syampu kering,” katanya.
Diet beliau juga dikawal. Bidan yang diupah akan memastikan Intan Maziah mengambil ikan segar untuk penyembuhan dalaman dan tidak dibenarkan makan ‘makanan yang menyejukkan’ seperti timun muda, kelapa muda dan kangkung.
Malah, Intan Maziah juga tidak boleh minum air yang sejuk, selain makanan pedas walaupun sepanjang 44 hari itu beliau selalu mengidam untuk makan rendang dan sambal!
Begitupun, selepas tempoh berpantang berlalu, beliau akui gembira mengatakan amalan yang dilakukan membantu mengembalikan bentuk badannya seperti sebelum mengandung dulu. Beliau juga merasa lebih kuat, sihat dan bersedia menjadi super-mum’ kepada bayinya.
“Memang banyak pengorbanan perlu dibuat ketika tempoh pantang, tetapi saya tidak kesal melaluinya,” kata ibu kepada Adam Harris Mohd Khusyairy, 5, dan Khadija, 3 tahun
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment