Perancangan teliti pastikan kesejahteraan keluarga
MAISARAH, baru berusia 35 tahun. Ibu beranak dua itu gelisah apabila ujian kehamilannya positif sedangkan anak kembarnya baru berusia setahun setengah. Tambah merisaukan, kandungan kedua yang baru berusia empat minggu itu juga, kembar. Berlainan bagi suaminya Hashim. Lelaki berusia 40 tahun itu cukup gembira lantas menyifatkan ia rezeki yang tidak seharusnya diratapi kehadirannya walaupun jauh di sudut hati Hashim, kehamilan itu dianggap sebagai 'kemalangan'. Sebagai Muslim, Maisarah akur rezeki Allah, tetapi pelbagai alasan menjadikan beliau sebenarnya tidak bersedia untuk hamil lagi. Maisarah sendiri ‘lembik’ melalui tempoh kehamilan, tetapi lebih penting, suaminya tidak mempunyai pendapatan tetap menyebabkan beliau rasa tidak sanggup. Pada pandangannya biarlah untuk beberapa tahun ini, keluarganya kecil, asalkan anak-anak mendapat perhatian sewajarnya. Bagaimana dengan anda?
Sama ada anda ingin anak ramai atau sebaliknya, setiap kehamilan itu perlulah dirancang kerana ia memastikan tubuh badan si ibu sihat menjalani proses kehamilan dan anak itu nanti akan disambut dengan perasaan gembira oleh seluruh ahli keluarga.
Bayangkan anda berada di tempat bayi yang berada di dalam kandungan ibu, tetapi anda tidak diingini seperti bayi Maisarah itu? Pasti anda akan berasa kecewa lantaran mungkin tidak disayangi ibu sendiri apabila lahir ke muka bumi nanti.
Anak itu adalah rezeki. Itu perkara yang tidak boleh kita nafikan, tetapi menjarakkan kehamilan dapat membantu wanita supaya lebih bersedia lantaran kehamilan memerlukan perhatian dan membawa perubahan kepada tubuh badan si ibu. Dalam Islam juga ada disebut berhubung jarak kandungan yang sebaiknya adalah dua tahun.
Sekiranya wanita berkenaan belum bersedia bergelar ibu, sudah pasti kehamilan berkenaan tidak diingini. Setiap tahun dianggarkan lebih 500,000 wanita dan gadis muda di dunia meninggal dunia ketika bersalin, kebanyakannya membabitkan kehamilan tidak dikehendaki, termasuk di kalangan remaja, sama ada di negara maju atau membangun.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, hampir 50 juta pengguguran dilakukan setiap tahun dan 20 juta daripadanya menggunakan kaedah tidak selamat dan sebahagian besarnya (90 peratus) berlaku di negara membangun.
Menurut laporan WHO lagi, lebih 100,000 kes kematian akibat bersalin boleh dielakkan jika kehamilan yang tidak dirancang dicegah melalui penggunaan pelbagai kaedah perancangan keluarga atau kontraseptif.
Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata setiap minit seramai 380 orang wanita disahkan hamil dengan 50 peratus daripada jumlah itu adalah kehamilan yang tidak dirancang yang boleh berakhir dengan perasaan duka.
“Kehamilan tidak dirancang di seluruh dunia mencecah angka 80 juta orang setahun dan kebanyakannya berakhir dengan pengguguran kerana bayi berkenaan tidak diingini. Walaupun di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, dianggarkan bahawa kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada kehamilan adalah tidak dirancang, di Asia pula kira-kira satu daripada tiga kelahiran adalah tidak dirancang.
“Kehamilan yang tidak dirancang boleh mendatangkan implikasi negatif termasuk menggugurkan kandungan. Kesan emosi, fizikal dan kewangan kehamilan yang tidak dirancang amat ketara, dan sebahagian besar daripada kesannya dirasai beberapa tahun kemudian. Ini menjadikan kontrasepsi dan perancangan keluarga pertimbangan penting bagi wanita hari ini,” katanya pada sidang akhbar bengkel media bertemakan ‘Memperkasa Wanita dengan Keyakinan Berkekalan’ di Langkawi, baru-baru ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pakar O&G, dari Australia, Dr Andrew Zuschman; Perunding O&G, Dr Ho Choon Moy dan Perunding O&G/Pakar onkologi Ginekologi, Prof Madya Adjung, Dr Suresh Kumarasamy.
Bengkel berkenaan menekankan betapa pentingnya peranan kontraseptif yang amat berkesan dalam kesihatan wanita, dengan memaparkan sistem dalam rahim levonogestrel (IUS-levonorgestrel) sebagai kaedah pencegahan hamil jangka panjang yang memberi wanita manfaat kesihatan tambahan. Ia juga menjadi pilihan utama wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak.
Perancangan keluarga yang berkesan adalah pertimbangan penting untuk memperkasa wanita yang ingin menjalani kehidupan dikehendaki mereka. Ia berkembang maju selama ini, daripada tujuan asas untuk mencegah kehamilan, kepada menawarkan manfaat kesihatan khusus untuk wanita selain pencegahan kehamilan.
Kaedah IUS-levonorgestrel, adalah satu contoh yang baik. Kaedah cegah kehamilan ‘pasang dan lupakan’ IUS-levonorgestrel ialah plastik berbentuk ‘T’ kecil yang dikelilingi oleh lengan silinder yang direka untuk membebaskan hormon levonorgestrel pada kadar rendah secara tetap, dan bertindak secara setempat dalam rahim wanita, untuk tempoh lima tahun.
Dr Harlina berkata, perancangan kehamilan dilihat semakin mustahak apabila di negara ini merekodkan lebih 55 peratus kematian bersalin, berlaku di kalangan wanita yang tidak pernah mengamalkan perancangan keluarga.
Malah, katanya, ramai wanita masih takut hendak menggunakan kaedah perancangan keluarga atas pelbagai alasan termasuk salah anggap terhadap penggunaan alat kontraseptif seperti menyebabkan pertambahan berat badan dan sebagainya.
“Apabila wanita merancang kehamilan, bukan bererti mereka mengelak daripada hamil, sebaliknya jumlah anak untuk tempoh tahun tertentu dapat memastikan kehidupan berkeluarga lebih sempurna.
“Anak itu rezeki dan anugerah Allah, tetapi biarlah ia datang dalam keluarga yang harmoni dan ibu bapa mempunyai cukup persediaan dari segi fizikal, mental dan kewangan untuk kebaikan bersama. Apabila isteri mengandung terutama dalam keadaan kandungan itu tidak dikehendaki, biasanya suami menyalahkan isteri, tetapi ramai tidak sedar mereka juga bertanggungjawab dalam proses kehamilan berkenaan kerana tanpa sperma suami, kehamilan tidak akan terjadi,” katanya.
Tegasnya, bila kandungan dirancang dan dikehendaki, ibu bapa tidak sabar-sabar menunggu kehadiran anak. Sebaliknya jika tidak dikehendaki, bayi yang bakal lahir berdepan kemungkinan dibuang, ditinggalkan, dijual atau dibunuh dengan pelbagai cara.
Sementara itu, Dr Zuschman berkata, IUS-levonorestrel ialah kaedah yang boleh dipercayai dan mudah untuk mencegah kehamilan dalam jangka panjang.
“Wanita gembira dengan kesenangan dan kualiti kehidupan lebih tinggi yang ditawarkan oleh IUS-levonorgestrel. Mereka bukan saja tidak perlu mengambil pil setiap hari, malah mereka juga mengalami pendarahan haid yang berkurangan dan lega daripada kesakitan serta gejala prahaid (PMS) yang biasanya dikaitkan dengan haid. Selain itu, memandangkan kesan hormon IUS-levonorgestrel terhad kepada uterus, ia juga sesuai bagi ibu yang sedang menyusukan bayi,” katanya.
Dr Ho berkata, wanita yang sedang mempertimbangkan pemandulan harus diberi nasihat berhubung penggunaan kontraseptif jangka panjang boleh dibalikkan seperti IUS-levonorgestrel, walaupun jika mereka tidak bercadang untuk hamil lagi, untuk mengelakkan sebarang kekesalan kerana memilih pemandulan yang memberi kesan kekal.
Katanya, jika dibandingkan dengan teknik ‘ikat’, penggunaan IUS jauh lebih baik kerana ia boleh dikeluarkan sekiranya wanita berkenaan memutuskan untuk hamil lagi pada masa depan.
“Kaedah ikat hanya diperlukan sekiranya ibu berkenaan benar-benar pasti dengan keputusan diambil itu, kerana kalau dilakukan tanpa berfikir secara mendalam, ia hanya menyebabkan rasa kecewa, apatah lagi sekiranya secara tiba-tiba mahukan anak lagi,” katanya.
source : bharian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment